Keburukan Telefon Bimbit
Telefon bimbit menjadi satu daripada alat komunikasi yang menguasai dunia tanpa memilih usia, status, dan kedudukan ekonomi seseorang. Tidak hairanlah telefon bimbit kini menjadi medium penting untuk masyarakat berinteraksi sama ada dalam dan luar negara. Di sebalik kebaikannya, penggunaan telefon bimbit mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap pengguna, khususnya pelajar sekolah. Malah, kebanyakan ibu bapa kini Iebih gemar memberi anak-anak kecil bermain telefon bimbit kerana bagi menghiburkan mereka.
Salah satu keburukan penggunakan telefon bimbit ialah boleh menyebabkan anak-anak sukar tidur pada waktu malam. Ini kerana, hampir semua telefon bimbit mengeluarkan “blue light” yang menyerupai cahaya siang hari. Cahaya tersebut mengirimkan isyarat pada otak dan membingungkan tubuh manusia yang menyebabkan seorang anak itu sukar tidur pada waktu malam. Apabila lewat mereka tidur, sudah tentu masa tidur mereka tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi mereka semasa di dalam kelas kerana tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar.
Selain itu, kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang gemar bermain telefon bimbit mempunyai masalah mata. Ini kerana perbuatan terlalu kerap melihat skrin telefon bimbit menyebabkan mata menjadi mata menjadi kering, merah, dan menyebabkan mata menjadi rabun. Perkara ini menjadi lebih kronik apabila mereka Iebih kerap melihat skrin yang terlalu terang di tempat yang gelap. Tambahan pula, melihat skrin yang terang dalam jarak yang dekat menyebabkan mata menjadi tegang dan meningkatkan risiko juling. Oleh kerana itulah, penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal akan menyebabkan kanak-kanak dan remaja cenderung mempunyai masalah mata.
Di samping itu, sejak telefon bimbit menjadi lebih maju dan pintar, kanak-kanak dan remaja yang kurang berpengetahuan kini menjadi sasaran jenayah siber. Penjenayah siber menyasarkan kanak-kanak dan remaja kerana mereka lebih senang diumpan dan ditipu. Tambahan pula, penjenayah tersebut amat sukar untuk ditangkap kerana identiti yang sukar dikenalpasti. Terdapat juga sesetengah telefon bimbit yang digodam dan dikawal sepenuhnya dari pengondam yang boleh merbahayakan nyawa kanak-kanak dan remaja tersebut. Mereka juga berpotensi menjadi mangsa buli siber kerana pembuli kini semakin giat membuli orang ramai terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Keburukan penggunaan gajet yang lain adalah pembaziran masa. Hal ini menyebabkan pengguna banyak menghabiskan masanya dengan melayari Facebook, Whatsaap, twitter dan laman sosial yang lain. Sebagai contohnya semua masa yang terluang untuk mereka beriadah, membaca buku, berjumpa rakan-rakan dan masa dengan keluarga telah menjadi terhad buat mereka. Seterusnya, berkomunikasi atau perbualan antara rakan-rakan dan keluarga kini semakin berkurangan. Hal ini berlaku disebabkan pengguna terlalu sibuk melayan gadjet dengan berkomunikasi dengan rakan-rakan lain atau melayari pelbagai laman sosial.
Ibu bapa perlu mengawal penggunaan telefon bimbit bagi memastikan peranti tersebut tidak membawa keburukan kepada anak-anak mereka. Kanak-kanak dan golongan remaja perlulah terus dididik untuk menggunakan telefon bimbit secara berhemah dan selamat. Masyarakat juga perlulah memainkan peranan agar jenayah yang berlaku menggunakan telefon bimbit dapat dikekang sepenuhnya. Sesungguhnya, penggunaan gadjet hendaklah diseimbangkan supaya pengguna dapat menghargai masa yang terluang dengan perkara yang lebih berfaedah kerana ‘Masa itu emas’.