Pemerkasaan Tulisan Jawi Dalam Kalangan Pelajar
Kedatangan Islam pada awal kurun ke 14 ke Tanah Melayu bukan sahaja menukar agama orang-orang Melayu kepada agama Islam,malah huruf-huruf tulisan Arab juga diambil bagi tujuan literasi membaca dan menulis Bahasa Melayu.Penggunaan tulisan Jawi suatu ketika dahulu berfungsi sebagai lingua franca di dunia Melayu. Penggunaannya terus disemarakkan di serantau alam Melayu satu ketika dahulu sehingga kedatangan penjajah di dunia Melayu merosakkan fungsi tulisan Jawi sehingga menukar sistem penulisan tersebut kepada tulisan rumi.
Beberapa kajian ke atas pelajar menunjukkan bahawa penguasaan pelajart erhadap tulisan Jawi masih pada tahap membimbangkan. Kesedaran dan minat para pelajar khususnya para remaja terhadap tulisan Jawi masih lagi pada tahap yang rendah. Pelbagai faktor yang digariskan oleh pengkaji berkaitan kelemahan pelajar dalam mempelajari tulisan Jawi antaranya minat, motivasi, teknik Pengajaran di dalam kelas dan lain-lain. Oleh itu,langkah pemerkasaan tulisan ini amat perlu bagi memastikan ia terus digunakan oleh generasi sekarang dan akan datang serta tidak luput ditelan zaman.
Usaha kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan pelajaran Jawi dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR) pada 1982 dan seterusnya memperkenalkan pelaksanaan program Jawi-Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) tahun 2004 kepada pelajar-pelajar sekolah rendah antara tujuannya adalah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan melahirkan generasi muda yang celik tulisan Jawi di Malaysia.Usaha ini membolehkantulisan Jawi diperkenalkan kepada anak bangsa Malaysia seawal di bangku persekolah.
Para pendidik seharusnya memainkan peranan dalam memperkasakan tulisan Jawi.Penggunaan strategi-strategi pengajaran yang berkesan mampu menarik minat pelajar mempelajari tulisan ini antaranya dengan menggunakan aplikasi Realiti Luasan atau Argumental Reality (AR) atau aplikasi-aplikasi lain yang difikirkan membantu pelajar dalam mempelajari Jawi. Para guru boleh menggunakan teknologi ini semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang dlihat sebagai medium Pengajaran dan pembelajaran yang inovatif, menarik dan efektif seterusnya mampu menarik minat dan motivasi pelajar untuk terus belajar Jawi.
Selain itu, pihak sekolah, kolej atau universiti boleh menggunakan papan kenyataan,papan tanda, petunjuk jalan dan lain-lain yang terdapat di institusi-institusi tersebut sebagai medium untuk menghidup dan membumikan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar. Interaksi pelajar secara harian melalui medium ini secara tidak langsung mampu menghidupkan kembali peranan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar. Pemerkasaan tulisan bangsa kepada para pelajar boleh juga dilaksanakan dengan mengkhususkan sehari seminggu untuk tulisan Jawi. Contohnya menjadikan hari Khamis sebagai hari penggunaan tulisan Jawi. Dengan ini, para pelajar akan lebih mengambil cakna terhadap tulisan Jawi.
Tulisan Jawi merupakan platform mengembalikan sejarah warisan bangsa. Kesedaran mengembalikan tulisan ini ke tahap seperti dahulu harus dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda. Semoga tulisan ini terus kekal releven dalam kalangan masyarakat dan tidak pupus ditelan zaman.