Teknologi AI, Jurnal Wacana Perkasa Bahasa Melayu di IPT
PERKARA 152 Perlembagaan menyatakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi Malaysia. Bagaimanapun, bahasa lain turut digunakan komuniti berbeza, seperti bahasa Cina, Tamil, Inggeris, dan sebagainya. Setiap komuniti mempunyai hak menggunakan dan memelihara bahasanya sendiri. Kerajaan juga menghargai kepelbagaian budaya dan bahasa ini.
Dalam hal ini, penulis pernah ditegur mahasiswa tempatan kerana dikatakan banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris sepanjang kuliah berlangsung.
Bukan penulis tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, namun sebagai rakyat Malaysia penulis pasti semua seharusnya mahir berbahasa Melayu apatah lagi dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT).
Tambahan pula, satu daripada syarat kemasukan pelajar ke universiti ialah mesti memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan Kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu.
Bahkan, bahasa pengantar rasmi digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran di kebanyakan IPT di Malaysia ialah bahasa Melayu. Walaupun begitu, pensyarah perlu memastikan pelajar berupaya dan bersedia mendapatkan rujukan daripada pelbagai sumber serta bahasa, terutama sumber dalam bahasa Inggeris.
Bahasa pengantar selain bahasa Melayu iaitu bahasa Inggeris perlu digunakan pensyarah secara menyeluruh apabila terdapat pelajar antarabangsa dalam kursus diajar. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mencadangkan pelajar prasiswazah antarabangsa diwajibkan lulus subjek Bahasa Melayu peringkat komunikasi asas sebagai syarat memenuhi keperluan kelayakan ijazah.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai medium pengajaran dapat memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat akses dan peluang sama dalam sistem pendidikan. Ini juga membantu memelihara kesatuan dan kestabilan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan pada 12 tahun lalu, beliau melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011–2015.
Pelan itu dihasilkan selepas kajian menunjukkan perbezaan tahap penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam program pengajian di Universiti Awam (UA) merentasi pelbagai bidang pengajian. Dapatan ini memberikan isyarat satu intervensi mesti dilakukan.
Beliau baru-baru ini melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023 – 2030. UA berperanan sebagai satu tahap signifikan dalam usaha meningkatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pada masa kini, dengan perkembangan pesat teknologi khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI), ia dapat dimanfaatkan bagi membantu mahasiswa menyiapkan tugasan menggunakan bahasa kebangsaan. Tiada alasan lagi tugasan diberikan kepada mahasiswa tempatan tidak boleh disediakan dengan menggunakan bahasa Melayu.
Teknologi AI membantu mahasiswa meningkatkan penguasaan dan kecekapan penggunaan bahasa kebangsaan termasuk mengenal pasti ralat tatabahasa, ejaan dan gaya penulisan, seterusnya memberi cadangan tepat untuk memperbetulkan kesilapan. Ia juga membantu menganalisis, mengumpul dan menyusun maklumat daripada pelbagai sumber.
Hal ini seterusnya dapat menggalakkan mahasiswa menghasilkan tugasan dengan kandungan lebih baik, berasaskan fakta dan data tepat. AI juga memperkayakan perbendaharaan kata mahasiswa melalui penekanan terhadap penggunaan perkataan sesuai dan kepelbagaian bahasa yang baik.
Ini berupaya meningkatkan gaya penulisan dan ekspresi mahasiswa dalam bahasa kebangsaan selain meningkatkan kemahiran dalam bahasa kebangsaan dan meningkatkan kualiti tugasan serta hasil kerja termasuk menyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) bagi tahun akhir pengajian.
Sementara itu, pensyarah di IPT adalah ejen penting dalam ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia. Mereka dianggap golongan cendekiawan berperanan aktif menyebarkan dan berkongsi pengetahuan serta kepakaran bidang masing-masing melalui pelbagai landasan.
Hal ini penting untuk memastikan bahasa Melayu tidak hanya digunakan secara eksklusif dalam bidang bahasa Melayu dan kesusasteraan, tetapi meliputi sektor lain termasuk sains tulen, sains sosial, teknologi dan kejuruteraan.
Salah satu daripadanya ialah melalui penulisan artikel dalam jurnal kebangsaan atau antarabangsa. Terdapat beberapa jurnal tempatan bukan sahaja bertaraf antarabangsa, malah menggalakkan pensyarah dan penyelidik menghasilkan artikel dalam bahasa Melayu di Malaysia.
Antaranya jurnal SAINS MALAYSIANA, jurnal Teknologi (Sains & Kejuruteraan) serta Arahan dan Pembelajaran Jurnal Malaysia (MJLI). Kewujudan jurnal sebegini di Malaysia kebanyakannya diterbitkan penerbit universiti, dapat mengukuhkan penerapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai disiplin di IPT.
Matlamat jurnal ini adalah untuk perkongsian penyelidikan dan perbincangan, kajian dan kritikan dalam pengajaran serta pembelajaran, menggalakkan penulisan ilmiah mengenai pembelajaran dan pengajaran. Ketiga-tiga jurnal di atas adalah jurnal berimpak tinggi, termasuk dalam pangkalan data 'Web of Science dan Scopus'.
Selain itu, KPT mengiktiraf jurnal diindeks dalam Malaysian Citation Centre (MyCITE) sebagai satu daripada syarat dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) staf akademik. MyCITE adalah pusat rujukan Malaysia di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM).
MyCITE bertanggungjawab mengumpul, mengurus dan mengindeks rujukan akademik serta kajian saintifik daripada jurnal terbitan Malaysia dan berkaitan dengan Malaysia. Ini termasuk memantau kualiti jurnal ini, memberikan nombor rujukan standard (ISSN) dan menyediakan indeks rujukan digunakan untuk mengukur pengaruh serta kepentingan karya penyelidikan dan ilmiah.
Sistem ini membantu meningkatkan pengiktirafan dan aksesibiliti karya ilmiah dari Malaysia. Kebanyakan jurnal diindeks dalam MyCITE menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian dalam karya diterbitkan.
Sebenarnya, banyak lagi aktiviti dan aspek dalam ekosistem pendidikan tinggi boleh dijadikan platform memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia seperti penyelidikan, inovasi, perundingan dan komuniti masyarakat.
Ia perlu terus disemai dan dibudayakan seawal sekolah rendah hingga peringkat pendidikan tinggi, lebih-lebih lagi ketika generasi masa kini dibesarkan dalam persekitaran teknologi internet dan media sosial. Mereka perlu sering diingatkan 'hilang bahasa, lenyaplah bangsa'.