Kesejahteraan Kesihatan Rakyat Melalui Filantrofi Islam

Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah perbelanjaan kesihatan daripada RM16.3 Billion pada 2008 kepada RM 26.21 bilion pada 2018 seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (2018). Manakala dalam Belanjawan 2020 peruntukan untuk perbelanjaan penjagaan kesihatan awam adalah sebanyak RM3.6 bilion berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM28.7 bilion (Bernama, 2019). Populasi penduduk Malaysia pada 2020 yang meningkat kepada 32.7 juta orang berbanding 32.5 juta orang pada 2019 orang berserta trend jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat menyumbang kepada kesukaran kerajaan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan bersubsidi dapat diberikan kepada seluruh rakyat (Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia, 2020). Ini adalah kerana kerajaan menghadapi kekangan dari sudut ketidakcukupan belanjawan dalam menyediakan kemudahan kesihatan, urusan pengambilan kakitangan baru serta kekurangan kemudahan fasiliti kesihatan.

Oleh sebab itulah, dana seperti filantrofi Islam memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan bebanan kerajaan yang mana dicadangkan penubuhan Pusat Sehenti Rehabilitasi dan Rawatan Kesihatan (PSRR) melalui dana filantrofi Islam di seluruh negara sebagai perkhidmatan sokongan yang boleh digunakan oleh rakyat yang berpendapatan rendah dalam membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan rakyat. Majlis Agama Islam Negeri serta Institusi Zakat dan Wakaf dapat membantu membangunkan perkhidmatan kesihatan berupa pemeriksaan kesihatan, pusat dialisis, perkhidmatan fisioterapi dengan kos yang rendah kepada masyarakat.

Kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan kepentingan perkhidmatan kesihatan atau pusat sehenti yang dibangunkan menggunakan model Filantrofi Islam sebagai instrumen kewangan baru untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah khususnya golongan B40 dan asnaf dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan. Kertas kerja ini turut membincangkan tentang keperluan mewujudkan pusat rehabilitasi atau pusat sehenti bagi kesihatan untuk kemudahan masyarakat awam dan golongan asnaf yang meliputi kemudahan kesihatan seperti rawatan hemodialisis, rawatan fisiologi dan pemeriksaan kesihatan percuma. Model ini dirangka bertujuan untuk membantu pentadbir dana filantrofi Islam melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan lebih cekap serta sebagai model kesejahteraan untuk masyarakat khususnya golongan yang memerlukan seperti golongan berpendapatan rendah dan miskin yang perlu diberikan keutamaan dalam mengecapi kesejahteraan dalam semua aspek kehidupan. Ini boleh direalisasikan melalui usaha menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan dan agensi Islam seperti pusat zakat dan wakaf.

Kos perbelanjaan kesihatan kerajaan di Malaysia yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan menanggung beban dalam memberikan rawatan bersubsidi kepada rakyat yang memerlukan. Hospital kerajaan yang sesak dengan pesakit serta ketidakupayaan kakitangan dan ketidakcukupan peralatan menambahkan lagi masalah untuk memberikan perkhidmatan yang cekap kepada pesakit. Menurut Abdul Rahman Ramdzan & Ihsanudin Abas (2019), jumlah katil yang tidak seimbang antara sektor awam (70%) dan swasta (30%), meningkatkan beban kewangan yang mana perbelanjaan tahunan kesihatan Malaysia adalah 4.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mana nisbah kerajaan kepada swasta adalah 50-50 peratus. Populasi Malaysia yang meningkat, kadar jangka hayat penduduk Malaysia serta kadar penyakit yang meningkat juga antara faktor yang akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan ini (Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, 2018).

Hasil kajian ini turut membantu meyakinkan rakyat untuk menyumbang harta mereka sejajar dengan filantrofi Islam. Ini sekaligus meningkatkan ekonomi negara, membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan, membantu rakyat yang memerlukan selaras dengan aspirasi kerajaan dalam Sustainable Development Goals (SDG) yang merangkumi kesejahteraan yang baik, mengurangkan ketidaksamarataan, perkongsian untuk mencapai matlamat kemampanan ekonomi.

You read at  words per minute.